Tempat Menarik di Perak

Tempat Menarik di Perak – Kepada Anda yang merancang untuk bercuti di Perak, melalui artikel ini Admin akan kongsikan kepada Anda beberapa lokasi tempat menarik untuk dilawati di negeri Perak darul Ridzuan. Mereka yang bercuti di Perak nie bukan sahaja orang luar negeri Perak, tetapi orang Perak sendiri pun kadang-kadang belum habis pusing negeri sendiri.

tempat menarik di PerakUntuk tidak menghampakan Anda daripada membaca celoteh panjang Admin (hehe!), maka di bawah ini terus Admin senaraikan nama tempat menarik di Perak tersebut. Admin pilih yang paling top dan meletop sahaja tau.

Info Am: Buat pengetahuan Anda yang belum tahu dan juga Admin yang baru tahu, tahun 2012 adalah Tahun Melawat Perak dan terdapat pelbagai destinasi menarik yang diketengahkan, antaranya 10 Ikon Pelancongan Perak, nak tahu? Scroll bawah. hehe.

  1. Taman Negeri Royal Belum.

    Taman Negeri Royal Belum merupakan hutan dara yang luas, juga menjadi salah satu daripada kawasan hutan simpan terbesar di Semenanjung Malaysia.

    Antara haiwan liar yang terdapat di hutan ini ialah gajah, badak sumbu, tapir dan harimau. Kecuali kanggaru, panda, dan penyu. (Ahaha, Admin memain)

    Hutan Royal Belum ini juga kaya dengan sumber biodiversiti. Di sini lebih kurang tiga daripada 20 spesies bunga Rafflesia boleh dijumpai! Selain itu kesemua 10 spesies enggang Malaysia berkampung di situ.

    Selain daripada keindahan alam semula jadi yang seronok untuk dinikmati, Taman Negeri Royal Belum juga menempatkan perkampungan Orang Asli iaitu di bahagian Sungai Tiang dan Sungai Kejar. Teringat pula Admin cerita Adam Maya..

    Percaya atau tidak, Taman Negeri Royal Belum ini dikatakan lebih tua berbanding Hutan Amazon. Jadi jangan lepaskan peluang Anda untuk merasai pengembaraan seperti pengembaraan Upin dan Ipin di sini. Oh.. hantu durian.. mungkin ada.

  2. Hutan Paya Bakau Matang

    Hutan Paya Bakau Matang ini sudah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 1906, ia berkeluasan kira-kira 40,000 hektar. Juga merupakan rizab hutan paya bakau terbesar di Semenanjung Malaysia. Kaya dengan pelbagai hidupan liar dan habitat yang tinggal di kawasan paya bakau dan dataran lumpur.

    Memandangkan hutan ini berdekatan sungai, Anda boleh menaiki bot menyusuri sungai pada waktu malam untuk melihat kelip-kelip atau kunang-kunang. (Yeah, teringat cerita Anak-anak Sidek pula main kelip-kelip dan menghasilkan seorang pari-pari wanita..imaginasi pula.)

    Bukan itu sahaja, terdapat beberapa aktiviti lain yang menarik yang boleh Anda lakukan di situ seperti melihat kehijauan pokok bakau dan memerhati burung yang pelbagai spesies. Aktiviti ini sesuai dilakukan waktu siang, kalau malam memang tak nampaklah. Haha!

    Selain itu, pengunjung juga berpeluang melihat proses menghasilkan arang daripada kayu paya bakau. Kalau buat projek kajian Sains di sini Admin fikir sangat sesuai.

  3. Gua Tempurung

    Merupakan sebuah gua batu kapur, lokasinya terletak di Gopeng. Nama Gua Tempurung diambil sempena bentuknya seperti tempurung kelapa. Panjang gua ini mencapai 1.9 kilometer dan dipercayai wujud sejak 8,000 Sebelum Masehi (SM) lagi. Lama tu..

    Gua Tempurung ini bercirikan lima kubah besar yang silingnya menyerupai tempurung kelapa, dimana setiap kubahnya memiliki bentuk stalagmit dan stalaktit yang berbeza-beza antara satu sama lain. Bukan itu sahaja, setiap kubah juga berbeza dari segi suhu, aras air, dan kandungan batu kapur dan marmar.

    Di pertengahan gua ini pula terdapat satu stalagmit yang berbentuk seperti gergasi.

    Disamping menyimpan pelbagai rahsia khazanah alam, gua ini turut tertulis dalam sejarah Malaysia dimana ia pernah menjadi salah sebuah tempat persembunyian komunis sejak tahun 1950 hinggalah tahun 1960-an.

    Gua Tempurung ini juga pernah dijadikan lombong bijih timah pada tahun 1970-an. Walaupun sudah lama masa berlalu, namun kesannya masih ada sampai sekarang.

  4. Taman Herba Negeri Perak

    Taman Herba Negeri Perak yang berkeluasan 22 hektar ini terletaknya di Kampung Kepayang, iaitu di sepanjang Jalan Simpang Pulai-Batu Gajah, merupakan tempat penanaman pelbagai herba yang kini dipenuhi lebih 525 spesies pokok herba.

    Antara spesies popular yang boleh didapati di Taman Herba Negeri Perak ini adalah seperti misai kucing, kunyit bonglai, kacip fatimah dan tutup bumi rimba.

    Selain daripada itu, spesies seperti emas cotek, jerangau, rempah padang, kunyit, serai wangi, bungah cengkih turut ditanam di sini.

    Keindahan kawasan Taman Herba Perak dengan haruman herba yang pelbagai sememangnya mendamaikan selain dapat menyenangkan jiwa selain mempelajari pelbagai jenis spesies herba yang ada.

    Admin sarankan Anda untuk melawat taman herba ini, selain daripada dapat berjalan-jalan menghirup udara segar, lebih bagus lagi jika lawatan serta percutian Anda diisikan sengan sesuatu yang bermakna seperti info kesihatan dan sebagainya. Baru ada nilai tambah.

  5. Sungai Klah Hot Springs

    Dengan persekitaran yang dikelilingi oleh bukit bukau serta gunung yang menghijau, Sungai Klah Hot Springs menawarkan sesuatu yang cukup unik buat pelancong seperti Anda.

    Dibuka pada 2003, ia bukan saja menawarkan keseronokan mandi-manda atau berendam di kolam air panas semula jadi dan air gunung tetapi pemandangan indah yang cukup menyenangkan dan pasti membuatkan Anda untuk datang lagi ke sini.

  6. Pulau Orang Utan, Bukit Merah Laketown Resort

    Kawasan yang luasnya 14 hektar, Pulau Orang Utan di Bukit Merah Laketown Resort menawarkan pengunjung keterujaan melihat gelagat dan aksi orang Utan terutamanya dikalangan kanak-kanak.

    Berasal dari Malaysia dan Indonesia, Orang Utan merupakan spesies beruk dan haiwan terancam. Jadi ia akan dilepaskan ke dalam hutan selepas melalui program pemulihan khas.

    Dengan hanya menaiki feri selama lebih kurang 10 minit dari Bukit Merah, Anda berpeluang melihat anak-anak Orang Utan dengan pelbagai aksi unik menggelikan hati.

  7. Zoo Taiping & Night Safari

    Zoo ini terletaknya di kawasan semula jadi iaitu di Taman Tasik Taiping yang berhampiran dengan kaki Bukit Larut (Maxwell Hill). Zoo Taiping atau Taman Mergastua Sultan Idris Shah adalah satu-satunya Zoo di Utara Semenanjung Malaysia.

    Keistimewaan Zoo Taiping & Night Safari – Dengan berkeluasan lebih daripada 8.5 hektar, Zoo Taiping mempamerkan 1,300 haiwan daripada 180 spesies, antara spesis yang boleh Anda dapati disini adalah seperti singa, harimau, gajah, zirafah, badak air, enggang, orang utan, kambing gurun, rusa ubi, badak tampung, pelanduk, kijang, kanggaru merah, angsa hitam dan angsa magpie.

    Night Safari dirasmikan pada 15 Jun 2003, merupakan antara pertama seumpamanya di negara ini. So, masukkan dalam senarai tempat menarik di Perak yang akan lawati nanti ya.

  8. Ipoh – The Limestone Wonder

    Ipoh merupakan salah sebuah bandar yang cukup unik yang dikelilingi oleh bukit-bukau serta gua batu kapur yang cukup unik. Pembentukan stalaktit dan stalagmit selama berjuta-juta tahun pasti membuatkan sesiapa saja terpegun keindahannya.

    Di sini, anda boleh melihat keunikan Gua Tempurung, Gua Puncak, Sam Poh Tong Temple, Perak Tong Temple, Gua Tambun, Taman Rekreasi Gunung Lang dan Taman Tema Lost World Of Tambun.

    Di Gua Tempurung dan Gua Puncak, seperti yang Admin nyatakan tadi, Anda pasti akan terpegun melihat formasi stalaktit dan stalagmit yang unik selain laluan di sepanjang penjelajahan di dalam kedua-dua gua itu. Cuma jangan terlalu terpegun sehingga menjadi salah satu daripada stalagmit tu sudah la. Hehe.

    Di Gua Tambun, terdapat beberapa lukisan batu zaman Neolitik berusia lebih kurang 5,000 tahun dahulu dijumpai di pinggir Ipoh sekitar tahun 1959.

    Manakala di Taman Rekreasi Gunung Lang pula menawarkan pemandangan bukit batu kapur dan tasik bekas lombong.

    Dikelilingi kehijauan alam semula jadi serta bukit batu kapur yang menakjubkan, Lost World of Tambun (LWOT) pasti menjanjikan keunikan buat pengunjungnya. Bak kata Zainal Abidin: Ku lihat HIJAU..

  9. Lumut & Pulau Pangkor

    Jarak lokasinya lebih kurang 84 kilometer (km) dari Ipoh, Lumut cukup terkenal dengan keindahan koleksi siput dan kraf tangan yang diperbuat daripada batu karang. Ia juga sering dikunjungi pelancong yang mahu bercuti ke Pulau Pangkor yang hanya mengambil masa lebih kurang 30 minit hingga 45 minit dengan menaiki feri.

    Di Pulau Pangkor pula merupakan tempat yang kaya dengan bahan sejarah, antaranya Kubu Belanda yang dibina pada abad ke-17 yang berperanan sebagai penyelia industri perdagangan timah di Perak pada masa itu.

    Gelaran ‘Pang Ko’ dalam bahasa Thai yang diberikan kepadanya bermaksud pulau cantik bertepatan dengan cirinya sebagai destinasi percutian ideal bagi yang inginkan ketenangan dan lari daripada kesibukan di bandar dan ibu kota.

    Di sana nanti, jangan lepaskan peluang untuk melihat proses penghasilan makanan laut segar di Kampung Sungai Pinang Kecil, Kampung Teluk Gedung dan Teluk Dalam.

  10. Kuala Kangsar Bandar Diraja

    Bandar Diraja Kuala Kangsar yang berusia 150 tahun, adalah antara destinasi yang wajib dikunjungi oleh Anda sekiranya melancong ke negeri Perak. Bandar yang hanya mengambil masa selama 30 minit pemanduan dari Ipoh punya pelbagai mercu tanda.

    Kuala Kangsar mendapat namanya daripada pokok Kangsar yang tumbuh di tebing sungai. Ada juga mengatakan nama Kuala Kangsar sempena 99 kuala anak sungai di Sungai Perak iaitu kurang 100, maka ia diberi jolokan nama ‘Kuala Kurang Sa’.

    Kepada Anda yang meminati sejarah mungkin boleh melakukan jejak warisan dengan hanya berjalan kaki menaiki Bukit Chandan. Selain itu, jangan lepaskan peluang melihat bangunan bersejarah yang sudah berusia lebih kurang 100 tahun iaitu Kolej Melayu dan Clifford School serta melihat sendiri pokok getah tertua di Jalan Raja Chulan.

    Masjid Ubudiah, Istana Iskandariah dan Galeri Sultan Azlan Shah turut merupakan antara tempat yang pasti dilawati terutamanya orang yang bersolat dikalangan Muslimin dan Muslimat.

    Penat berjalan jangan lupa pula Selain tarikan sejarahnya, Kuala Kangsar juga adalah pusat menghasilkan Labu Sayong. Untuk tempat makan menarik pula, laksan di medan selera Sungai Perak antara destinasi paling popular.

Ok, demikian senarai 10 tempat menarik di Perak yang utama yang patut Anda senaraikan nanti sekiranya hendak melawat Perak. Nasihat Admin bila seronok melawat nie jangan lupa tanggungjawap sebagai orang Islam, kepada Anda yang berada lebih dari 90 Marhalah seperti dari Perlis, Kedah atau Johor, jangan lupa untuk niat musafir supaya perjalanan Anda dipermudahkan seperti jamak dan qasar solat. Masa inilah sebagai ketua keluarga yang kacak (kepada lelaki) menjalankan tugas mengajar anak untuk solat jamak nie.

Sekadar itu dulu artikel daripada Admin tentang tempat menarik di Perak, sekiranya Anda ada tambahan info berkenaan dengan tempat menarik di atas atau lain, boleh kongsi di bawah ini. Tempat makan menarik dan sedap pun dialu-alukan. Sekian.

Artikel yang berkaitan:

Filed Under: santai

RSSComments (1)

Leave a Reply | Trackback URL

  1. cho zila says:

    jangan lupakan tuntung di kampung temantu..
    JOM usha post terbaru cho zila di ~ recently posted..Bergambar di Medini Mall @ LegolandMy Profile

Leave a Reply




If you want a picture to show with your comment, go get a Gravatar.

CommentLuv badge
  • Sponsor

    Nikmati Perlancongan Penuh MAKNA


    Rating for pelikbinajaib.com